21.9.12

JENAYAH PEMERDAGANGAN MANUSIA


DERITA KANAK-KANAK MANGSA PEMERDAGANGAN

LINA (bukan nama sebenar) baru berumur lapan tahun. Pada usia tersebut, dia sepatutnya menghabiskan masa di sekolah, bergaul bersama rakan-rakan sebaya, bermain dan mengulang kaji pelajaran. Namun nasib Lina tidak seindah yang dilalui kanak-kanak seusianya. Dia melalui hari-hari yang gelap sejak beberapa bulan lepas setelah dijual bapanya sendiri kepada pihak ketiga yang kemudian memperdagangkan dirinya untuk tujuan seks.

Sekadar Gambar Hiasan

Setiap hari, Lina yang berasal dari sebuah kawasan di Selangor, dipaksa bekerja dengan memberi perkhidmatan seks kepada lelaki yang boleh dipanggil abang, bapa atau datuk kepadanya. Dia, yang dikawal oleh lelaki yang dipanggil ‘uncle’, tidak mengerti dengan apa yang sedang dilaluinya dan kenapa diperlakukan sebegitu apatah lagi untuk memahami akan haknya sebagai seorang kanak-kanak.

Mungkin ramai yang tidak sedar, kes sebegini berlaku dalam masyarakat kita. Realitinya, kisah Lina hanyalah secubit kisah daripada kehidupan sebenar kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Jika kita beranggapan, isu pemerdagangan kanak-kanak hanya berlaku di negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja, ia adalah silap kerana sebenarnya jenayah tersebut turut berlaku dengan meluas di negara ini.

Koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez dalam temubual sebelum ini menyatakan ramai kanak-kanak Malaysia yang menjadi mangsa kes seumpama telah diselamatkan dari negara seperti Kanada, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat. Malaysia kini bukan sahaja dijadikan sebagai negara transit malahan mengeksport dan terlibat dengan negara destinasi untuk aktiviti pemerdagangan.

Menurut statistik, antara Februari 2008 hingga October 2010, sebanyak 118 kes pemerdagangan kanak-kanak dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,843 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama di sekitar negara Asia.

Kenapa kanak-kanak?

Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (International Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki. Contohnya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak.

Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api.

Kira-kira 2.7 juta orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun dan jenayah melangkaui sempadan yang berlaku di merata negara di dunia ini diangkat menjadi isu global yang ditangani secara serius di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia.

Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.

Pengutip Dana dan Pakar Advokasi Yayasan Chow Kit, Dr. Hartini Zainudin berkata, kadang kala di kalangan kanak-kanak yang meningkat dewasa mengetahui mereka dieksploitasi untuk memberi khidmat seks namun mereka tidak mengetahui atau menyedari tahap penganiayaan yang diperlakukan atau kesan fizikal dan mental.

Beliau yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak terutama di Chow Kit berkata, banyak faktor yang mendorong kanak-kanak mudah terjerat hingga bersetuju untuk dibawa pergi dari satu tempat ke satu tempat tanpa mengetahui yang mereka akan dieksploitasi.

Ada sebahagian mereka percaya dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, berkahwin dan dapat hidup lebih bahagia. Namun ada juga dijual keluarga sendiri dan diculik oleh sindiket untuk dijual.

Sekarang memang penjualan bayi yang kita nampak menonjol. Mereka yang tidak punya anak biasanya akan membeli bayi itu tanpa diketahui latar belakang mereka. Menjadi satu kebimbangan jika perkara ini tidak dibendung kerana mereka yang mampu boleh membelinya. Perkara ini akan berterusan kerana cuba kita lihat berapa ramai yang mengandung anak luar nikah, wanita yang tidak mempunyai dokumen diri, wanita yang tidak diketahui warganegaranya yang menyebabkan mereka tidak tahu di mana harus diletakkan bayi tersebut, jadi jalan paling mudah adalah dengan menjualnya,” katanya.

Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya bayi tersebut tidak mempunyai dokumen, kerana tidak diketahui asal-usul. Namun yang menjadi fokusnya kini ialah kanak-kanak yang diperdagangkan untuk komersial antaranya dijadikan pelacur, peminta sedekah, mahupun keldai dadah dan aktiviti jenayah lain.

Sumber: Utusan Malaysia, 17 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment

MAJLIS RESTU ILMU STPM

Majlis Restu Ilmu Sekolah Tinggi Kluang Slideshow: Pok’s trip to Kluang was created with TripAdvisor TripWow!